‘Dark Tourism’ Punyai Potensi Tarik Pelancong Ke Sabah – Jafry

‘Dark Tourism’ Punyai Potensi Tarik Pelancong Ke Sabah – Jafry

0
SHARE
Datuk Jafry Ariffin...

KOTA KINABALU, SABAH – Sifat rasa ingin tahu semula jadi spesis manusia menjadi magnet kepada produk pelancongan ‘Dark Tourism’ (pelancongan gelap) penggiat sektor di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata, konsep itu memberikan pengalaman yang unik kepada pengunjung iaitu dengan adakalanya wujud elemen seram.

“Saya percaya produk pelancongan baharu yang akan dibangunkan ini mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk menarik ramai pelancong-pelancong dalam dan luar negara.

“Beberapa pengkaji pelancongan menyatakan bahawa dark tourism adalah pelindung warisan sejarah agar tidak dilupai.

“Ia juga menjadi sumber pengetahuan dan membuka peluang penyelidikan yang mengaitkan kisah masa silam dengan masa kini dan juga masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian ‘Bengkel Gabungan Ekopelancongan Dan Pelancongan Gelap: Potensi Produk Baharu Pelancongan Taman-Taman Sabah Pascapandemik’ pagi tadi.

Menurut Jafry, pusat pelancongan yang mempunyai potensi adalah seperti tapak peperangan, penjara, tapak penghambaan, tapak perkuburan, tapak peringatan dan tempat-tempat yang mengandungi sejarah menyakitkan.

Katanya selain memberi pengetahuan dan potensi penyelidikan, apa yang membuatkan konsep tidak boleh diperoleh di tempat lain adalah pengalaman emosi bercampur-baur seperti gembira, takut dan sedih.

“Melalui pengalaman ini, saya percaya kita akan menjadi lebih bersyukur dan menghargai sejarah-sejarah masa silam yang selama ini tidak diketahui…

“Inilah yang cuba dibangunkan dan dikembangkan oleh pihak Taman-Taman Sabah dengan merungkai sejarah yang terdapat dalam kawasan Taman,” katanya lagi.

Bengkel yang dianjur Taman-Taman Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah dilihat sebagai telah mengorak langkah pertama dalam meneroka serta mengenalpasti potensi ‘Dark Tourism’ di dalam negeri.

“Saya yakin kita akan berjaya membangunkan produk pelancongan baharu yang berdaya saing serta mampu memacu pertumbuhan ekonomi baharu di samping mewujudkan peluang pekerjaan…

“Saya percaya dengan kewujudan elemen dark tourism, pastinya akan mendatangkan manfaat yang besar kepada sektor pelancongan Sabah,” kata Jafry.