SINGAPURA – Sebuah portal berita Singapura yang kerap mengkritik pihak berkuasa digantung lesen harinya kerana gagal mengisytiharkan sumber dananya.
Susulan daripada itu, kumpulan hak asasi menyelar tindakan itu sebagai langkah menyekat atau penapisan berita yang tidak boleh diterima.
Memetik laporan AFP, Singapura sering berdepan kritikan dalam usahanya mengekang kebebasan media dan laman The Online Citizen (TOC) sudah lama tidak selari dengan kerajaan.
Portal itu menjadi beberapa sumber berita alternatif dan sering menyiarkan berita berbentuk kritikan atau teguran terhadap pihak berkuasa berbanding media arus perdana milik kerajaan.
Pihak berkuasa berkaitan media berkata, langkah penggantungan lesen syarikat untuk mengendalikan laman sesawang dan saluran media sosial itu dilakukan kerana ia belum memenuhi kewajipan untuk menyatakan sumber pembiayaan.
Lembaga Pembangunan Media Infocomm, dalam satu kenyataan, berkata laman seperi TOC ‘diminta bersikap telus mengenai sumber pembiayaan mereka’.
“Ini bagi mengelakkan laman sesawang itu dikendalikan oleh pelaku asing atau berada di bawah pengaruh entiti atau dana asing,” katanya.
Agensi penguatkuasa itu memberi amaran supaya TOC mematikan laman sesawang dan akaun media sosial mereka bermula Khamis ini dan sekiranya gagal memberikan maklumat lanjut, maka lesen beroperasi boleh dibatalkan sepenuhnya.
Katanya, laman itu perkara kali didaftar pada 2018 dan tidak memenuhi arahan yang diwajibkan untuk mengisytiharkan sumber dana sejak 2019 lagi.
Ia menyatakan, TOC membenarkan pelanggan mendapatkan artikel khusus yang ditulis sebagai bayaran sebagai ‘dana langganan’ dan ini dikhuatiri akan ‘menjadi jalan bagi pengaruh luar menyusup masuk’.

Ketua editor, Terry Xu, bagaimanapun memberitahu AFP bahawa laman itu ‘tidak pernah menerima dan tidak akan menerima dana luar di masa hadapan’ dan syarikat itu sedang mempertimbangkan pilihannya.
Awal bulan ini, Xu dan seorang penulis TOC diarah membayar ganti rugi besar selepas kalah dalam saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Asia untuk Human Rights Watch, Phil Robertso, berkata penggantungan lesen itu adalah ‘penapisan yang keterlaluan dan tidak dapat diterima dalam tindakan pemerintahan’.
“Hakikatnya, niat kerajaan Singapura mahu menutup TOC adalah secara curang atau jahat kerana mereka tidak menyukai kebebasan dan laporan kritikal yang disampaikan,” katanya.
Singapura berada di tangga ke-160 dalam kalangan 180 negara dan wilayah disenaraikan Indeks Kebebasan Akhbar Dunia dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan, dengan negara di tempat teratas mempamerkan kebebasan media terunggul.