CANBERRA, AUSTRALIA – Kadar kesuburan lelaki bakal merosot apabila mencapai usia pertengahan 40-an, demikian menurut satu kajian klinikal di Genea, Australia.
Memetik laporan akhbar Mirror.uk, sekumpulan saintis dari sebuah klinik rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) di Genea mendedahkan melaui kajian yang dijalankan bahawa kualiti sperma merosot seiring dengan peningkatan usia.
Pakar Kesuburan di klinik tersebut, Dr. Cheryl Pua berkata, keadaan itu bertambah buruk bagi mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas.
Hal ini kerana terdapat pengurangan dalam bilangan sperma yang bergerak dan kerosakan pada maklumat berkenaan asid deoksiribonukleik (DNA) yang disimpan oleh sperma.
“Kami mendapati terdapat kemerosotan ketara dalam kualiti sperma yang dihasilkan kerana kerosakan pada DNA atau maklumat genetik yang dimiliki sperma,” kata Cheryl.
Kajian tersebut dilakukan dengan mengambil sampel sperma daripada lebih 40,000 lelaki.
Masalah kesuburan akan menyebabkan pasangan sukar untuk hamil selain masalah keguguran turut lebih kerap berlaku.