Lelaki Khayal Dadah Ambil Ibu Sebagai Tebusan, Ugut Letupkan Tong Gas

Lelaki Khayal Dadah Ambil Ibu Sebagai Tebusan, Ugut Letupkan Tong Gas

0
SHARE
Bomba
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan PDRM ketika menyelamatkan lelaki dan ibunya dalam kejadian ancaman bunuh diri di Jalan Gangsa ( Sumber Foto: Ihsan JBPM )

GEORGETOWN, PULAU PINANG – Seorang lelaki berusia 45 tahun mengambil ibunya sebagai tebusan selepas memukulnya dengan penukul dan mengugut untuk meletupkan tiga tong gas dalam kediaman mereka di Jalan Gangsa sini semalam.

Ketika kejadian, lelaki terbabit dikatakan terus memukul ibunya setiap kali anggota penyelamat cuba merapati wanita berkenaan bagi diselamatkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, suspek yang di bawah pengaruh dadah itu ditahan selepas pihak polis berjaya memujuknya setelah selama lebih tiga jam.

Katanya, ketika kejadian suspek hanya bersama ibunya berusia 70an manakala adik perempuannya yang berusia 30an keluar bekerja.

“Kejadian disedari jirannya lalu menghubungi polis pada jam 9.30 malam.

“Polis kemudiannya tiba di lokasi bagi menyelamatkan warga emas tersebut bersama pihak bomba berikutan ugutan untuk suspek untuk meletupkan tong gas.

“Suspek bertindak memegang ibunya secara kasar sambil mengugut untuk mencederakannya menggunakan pisau yang terselit di pinggang,” katanya memetik Sinar Harian.

Swee Sake sendiri ke lokasi bagi memujuk mangsa setelah dua jam berlalu di mana mangsa mula mengugut untuk terjun dari tingkat 11 rumahnya itu.

“Selepas lebih sejam saya memujuknya, suspek akhirnya mempercayai saya. Saya terpaksa mengambil risiko untuk masuk ke dalam rumah suspek kerana bimbang lelaki tersebut terus bertindak agresif.

“Tambahan pula, suspek mempunyai pemetik api dan kita bimbang dia akan meletupkan tong gas yang akan membahayakan keselamatan jiran,” katanya.

Beliau berkata pertuturan dalam bahasa Hokkien berjaya melembutkan hati mangsa yang akhirnya melepaskan ibunya untuk keluar dari rumah.

“Selepas berjaya memasuki rumah itu, kita terbau gas berikutan suspek telah membuka pili gas.

“Kita berjaya menahan lelaki itu tanpa sebarang kecederaan manakala ibunya yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawat lanjut,” katanya.

Swee Sake berkata ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis syabu manakala suspek juga mempunyai tiga rekod lampau melibatkan dadah serta jenayah.

Suspek direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.