Kerajaan Perkenal Beras Putih Madani Bermula 19 Februari

Kerajaan Perkenal Beras Putih Madani Bermula 19 Februari

0
SHARE
Syed Abu Hussin dalam sidang media pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, penetapan harga siling baru bagi beras berkenaan akan berkuatkuasa 19 Februari dan akan berada di pasaran bermula 1 Mac.

Menurutnya, dalam tempoh 10 hari itu kerajaan memberi peluang kepada pemain industri beras untuk membuat penyelarasan dari segi pembungkusan dan juga pemasaran.

“Penetapan harga siling tunggal untuk Beras Putih Malaysia Madani turut melibatkan beras 10 kilogram RM30, lima kilogram pada harga RM15.50 dan satu kilogram RM3.50.

“Apa yang kita buat ini untuk memberikan suatu harga yang lebih selesa kepada rakyat sebenarnya. Pelarasan ini dibuat oleh industri untuk memberikan harga yang sesuai dan ada dalam pasaran untuk semua rakyat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, walaupun semua jenis pembungkusan dan warna pengampitan sedia ada dibenarkan sehingga stok di peringkat pemborong habis, pemain industri beras masih perlu mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras mengikut ketetapan baharu sehingga 1 Mac ini.

Tambah beliau, kerajaan turut membenarkan bungkusan lama dipakai tetapi mesti ditampal dengan pelekat harga Beras Putih Malaysia Madani yang ditetapkan.

“Ini memberi ruang (memandangkan) selama 18 tahun harga beras tidak naik. Ini juga bagi membolehkan petani serta pesawah lebih selesa dengan harga siling beras (baharu)  dan industri juga boleh bertahan dengan harga RM30 untuk setiap10kg,” katanya.