KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyokong gesaan supaya Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan dikembalikan, selain memperkukuh insentif dan menambah baik bantuan perpindahan bagi doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki berkata, pendirian itu selaras dengan gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah dalam usaha menangani keperluan tenaga kerja kesihatan di negeri ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini turut memantau rapat situasi susulan laporan mengenai pegawai perubatan yang tidak melapor diri untuk penempatan mereka di Sabah.
Walaupun urusan pelantikan dan penempatan pegawai perubatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, katanya, Kerajaan Negeri sentiasa membangkitkan isu kekurangan doktor serta langkah meningkatkan pengambilan dan pengekalan doktor di Sabah.
“Saya sebelum ini telah membangkitkan isu Bayaran Insentif Wilayah (BIW), selain beberapa cadangan lain, kepada Menteri Kesihatan dalam perbincangan kami serta mesyuarat jawatankuasa berkaitan.
“Perkara ini sedang disusuli melalui perbincangan yang berterusan dan kita akan terus berhubung dengan Kerajaan Persekutuan bagi melihat bagaimana cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, Kerajaan Negeri akan menunggu keputusan penuh penempatan pegawai perubatan terbaharu sebelum menilai keadaan sebenar.
“Kita akan terus memantau situasi ini dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani keperluan tenaga kerja kesihatan di Sabah,” katanya.






