RM16.89 Juta Laksana Program Pemerkasaan Belia

RM16.89 Juta Laksana Program Pemerkasaan Belia

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey (empat dari kiri) menyampaikan hadiah serta sijil penghargaan kepada para pemenang- kuiz ramadan dan pertandingan azan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Kerajaan negeri memperuntukkan RM16.89 juta bagi melaksanakan pelbagai program pemerkasaan belia sejajar dengan Dasar Belia Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan komited terhadap pembangunan belia di negeri ini kerana mahu melahirkan generasi belia yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran, kepimpinan dan berdaya saing.

“Ini kerana belia adalah pemacu signifikan bagi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Oleh sebab itu, sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosio-ekonomi,” jelas beliau dalam Program Rakan Ekspresi Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Sabah di Masjid Daerah Putatan.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya serta Ahli Parlimen Putatan.

Dalam teks ucapannya, Hajiji menyatakan, belia yang cemerlang adalah belia yang mendekatkan diri dengan Al Quran dan menghayati amalan sunnah khususnya di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Menjadi harapan saya, hubungan silaturrahim antara belia dan anggota masyarakat sentiasa diperkukuhkan kerana belia yang beriman adalah benteng yang terbaik untuk memelihara dan mengekalkan kesejahteraan masyarakat negeri dan negara.

“Sesuai dengan kemuliaan bulan Ramadan dan berpuasa sepanjang bulan suci ini, umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyakkan amalan sunnah seperti menunaikan solat sunat tarawih dan solat witir, tadarus Al Quran, berzikir dan bersedekah.

“Ini kerana bulan Ramadan adalah bulan yang mulia dan terdapat satu malam yang sangat bernilai serta penuh keberkatan yang disebut sebagai al-qadar. Allah SWT menjanjika kepada sesiapa yang beribadah dan menghidupkan malam tersebut akan memperolehi ganjaran pahala yang tidak ternilai seumpama beribadat seribu bulan lamanya.

“Justeru sebagai umat Islam kita hendaklah memanfaatkan sepenuhnya setiap detik di dalam bulan suci ini bukan setakat berpuasa sahaja tetapi juga mengerjakan amal ibadah lain demi memperoleh pahala serta keredhaan Allah SWT,” katanya.

Mengenai program itu, Hajiji menyarankan agar beberapa persatuan lain seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta persatuan-persatuan Islam yang terdapat di sekolah dan institusi pengajian Tinggi (IPT) dilibatkan sama dalam program akan datang.

Tambahnya, usaha murni penganjur melambangkan kejayaan dalam kolaborasi besar yang melibatkan pelbagai pihak ke arah menyemarakkan syiar Islam, menyerikan bulan suci Ramadan di samping memperkukuh kesatuan, perpaduan dan keharmonian ummah.

Pada majlis itu, Shahelmey yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari serta Pegawai Daerah Masawi Salleh menyampaikan hadiah serta sijil penyertaan kepada para pemenang pertandingan azan dan kuiz ramadan.

Usai majlis iftar, Shahelmey menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak diikuti solat sunat Terawih bersama kira-kira 500 belia dalam program tersebut. — JABATAN PENERANGAN SABAH