RANAU: Taktik menyembunyikan 60 kilogram bahan dipercayai serbuk ketum di bahagian kerusi penumpang belakang sebuah kereta terbongkar selepas polis menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah perkampungan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 31 tahun ditahan dalam operasi kira-kira jam 10.40 malam baru-baru ini hasil risikan berterusan serta maklumat penduduk setempat.
Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, suspek berusia 22 tahun ditemukan sedang memasak cecair dipercayai ketum.
“Seorang lagi lelaki berusia 31 tahun kemudian menunjukkan sebuah kenderaan dan hasil pemeriksaan menemukan dua kotak mengandungi 60 kilogram bahan dipercayai serbuk ketum yang disembunyikan di bahagian kerusi penumpang belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mursalin berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dengan bantuan anggota Pondok Polis Lohan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Katanya, pengambilan dan pemprosesan cecair ketum merupakan kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau atas kerjasama menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.
Menurutnya, Program Kesedaran Penyalahgunaan Ketum Komuniti Ranau yang diadakan pada 26 Ogos lalu turut memberikan impak positif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membantu polis membanteras kegiatan terbabit.
Beliau menegaskan IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang demi memastikan kesejahteraan masyarakat setempat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222 dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.






