Sabah FC Tewas Kepada Selangor FC Di Laman Sendiri

Sabah FC Tewas Kepada Selangor FC Di Laman Sendiri

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah FC gagal memperoleh 3 mata penuh dalam saingan Liga Super di laman sendiri selepas tewas kepada Selangor FC sebentar tadi di Stadium Likas.

Pada awal permainan, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan dengan beberapa percubaan, namun gagal menghasilkan sebarang gol.

Selangor FC kemudian berjaya mendahului pada minit ke-24 hasil jaringan Mukhairi Ajmal menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti, yang berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat.

Pasukan pelawat kendalian jurulatih Mohd Nizam Jamil, tidak menunggu lama untuk menjarakkan lagi kedudukan selepas, apabila ketua pasukan Brendan Gan berjaya menyudahkan hantaran pendek daripada Herlison Caion, seminit kemudian.

Skuad Badak di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee kemudiannya cuba mengatur serangan dan pada minit ke-30 Sabah berjaya merapatkan jurang apabila Baddrol Bakhtiar menyempurnakan sepakan percuma.

Para penyokong bersorak kuat apabila Sabah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi jaringan pemain import Jose Embalo, berjaya menjaringkan sulung setelah tujuh penampilan bersama skuad The Rhinos dan keputusan kekal 2-2 sehingga tamat masa pertama.

Bermula babak kedua kedua-dua pasukan masing-masing cuba mengatur serangan namun pasukan pelawat lebih mendominasikan perlawanan.

Pada minit ke-76, pasukan pelawat berjaya memperolehi gol ketiga hasil umpanan Aliff Haikal yang berjaya disempurnakan oleh Hein Htet Aung menewaskan Damien Lim yang menggantikan Khairul Fahmi.

Untuk rekod, walaupun tewas malam ini Sabah terus kekal di tangga kedua Liga Super selepas mengutip 36 mata manakala Selangor di tangga kelapan dengan meraih 20 mata.