KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjulang Piala FA buat kali kedua selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Pada aksi perlawanan malam ini, JDT bermula garang menerusi percubaan Arif Aiman Hanapi yang menggegar tiang gol pada minit ke-11.
TFC yang dilihat beberapa kali melancarkan serangan balas ke kubu JDT turut memiliki peluang terbaik untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-25, namun percubaan Tchetche Kipre dinafikan penjaga gol, Farizal Marlias yang bertindak bijak menutup ruang lebih awal.
Penyokong JDT bersorak kuat menggegarkan Stadium Nasional sekali lagi pada minit ke-34 apabila Arif Aiman berjaya meletakkan Harimau Selatan di depan selepas menyudahkan umpanan Leandro Velazquez.
Skuad kendalian Bidoglio yang dilihat lebih efektif dalam membuat hantaran berbahaya berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas Bergson Da Silva dijatuhkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim pada minit ke-62 dan peluang itu disempurnakan sendiri olehnya bagi mengukuhkan kedudukan JDT.

Selepas berhempas pulas untuk merobohkan benteng kebal JDT yang diketuai Shane Lowry, Kipre menghidupkan harapan untuk TFC selepas meledak gol pertama skuad Penyu pada minit ke-76.
Namun, kedudukan itu hanya bertahan dua minit apabila Bergson terus membuktikan ketajamannya dengan meledak gol ketiga JDT selepas berlaku keadaan kelab kabut di depan pintu gol TFC.





