Borneo Fashion Week 2025 Angkat Warisan Borneo dan Kelestarian Fesyen Moden

Borneo Fashion Week 2025 Angkat Warisan Borneo dan Kelestarian Fesyen Moden

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Borneo Fashion Week (BFW) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gaya dan kemeriahan selepas berlangsung selama dua hari di Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur, pada 10 dan 11 Oktober lalu.

Bertemakan “Fashion With Purpose”, edisi kali ini bukan sekadar meraikan keindahan fesyen moden tetapi turut menonjolkan semangat kelestarian, warisan budaya dan kreativiti yang menjadi nadi kepada identiti Borneo. 

Diasaskan oleh personaliti fesyen dan bekas ratu cantik, Stephanie Alcantara, acara berprestij ini menghimpunkan pereka tempatan dan antarabangsa termasuk GC Jade, Clarissima, Nasha Prive, Barzwang, Inayad dan Maswira Majid dalam pertunjukan yang memadukan tradisi serta inovasi kontemporari.

Acara turut diserikan dengan kehadiran ASEAN Fashion Designers Showcase (AFDS) yang melibatkan penyertaan pereka dari Brunei, Singapura, Vietnam dan Malaysia.

Acara juga mendapat sokongan daripada pelbagai penaja utama seperti Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic dan Pavilion Damansara Heights yang memperkukuh pelaksanaan BFW 2025.

Kemuncak acara menyaksikan Malam Anugerah BFW 2025 yang memberi pengiktirafan kepada pencipta dan penggerak industri fesyen.

Antara penerima utama ialah Nasha Prive yang dinobatkan sebagai Designer of The Year, Barzwang sebagai Emerging Designer of The Year, dan Ocely sebagai Most Promising Designer.

Sementara itu, Rania dan Ariq masing-masing diumumkan sebagai Model of The Year kategori wanita dan lelaki, manakala Green Thread Award diberikan kepada Saerah R. Kunjan atas sumbangannya dalam rekaan berasaskan kelestarian.

Menurut Stephanie, tema “Fashion With Purpose” mencerminkan visi BFW untuk menjadikan fesyen sebagai platform memperjuangkan nilai kemanusiaan dan kelestarian.

Katanya, BFW bukan hanya tentang pakaian cantik, tetapi juga tentang mesej yang lebih besar, iaitu kasih kepada bumi, warisan dan budaya.

BFW 2025 turut menandakan kematangan industri fesyen Borneo yang kini semakin bersedia menembusi pasaran global dengan identiti tersendiri.

Gabungan profesionalisme, kreativiti dan semangat komuniti menjadikan edisi kali ini antara yang paling berimpak sejak penubuhannya, sekali gus memperkukuh kedudukan Borneo sebagai antara pusat fesyen baharu yang berpengaruh di rantau Asia.