TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Datuk Liew Yun Fah, menegaskan perjuangannya dalam politik bukan untuk kepentingan diri atau keluarga, sebaliknya demi memastikan rakyat Merotai menikmati kemajuan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih terjamin.
Dalam kenyataannya di laman Facebook rasmi pada Ahad, Liew berkata, fokus utama perjuangannya adalah membela nasib rakyat luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa PHRS yang juga merupakan salah satu komponen parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal teguh menyokong kepimpinan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, serta kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
“Sejak awal perjuangan ini, saya tidak meletakkan keperluan diri dan keluarga sebagai keutamaan. Saya mahu melihat Merotai berubah wajah menjadi lebih maju, rakyat terbela dan hak mereka dijamin termasuk hak tanah, pendidikan, kesihatan dan keselamatan,” katanya.
Liew berkata demikian ketika menceritakan suasana penuh emosi di majlis kenduri kesyukuran anjuran Ketua Wanita Bahagian Merotai PHRS, Hamisiah Didi, di Kampung Langsat, Merotai.
Beliau menjelaskan anaknya, Sammie Liew, tidak dapat menahan sebak apabila menyapa orang kampung yang hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada parti.
“Maafkan anak saya, tiada niat mengganggu suasana kenduri. Mungkin Sammie tidak dapat menahan rasa terharu melihat sokongan kuat orang kampung Merotai terhadap PHRS,” katanya lagi.
Menurut Liew, walaupun ada pihak memandang sinis usaha beliau dan pasukan PHRS yang giat turun padang sebelum PRN, perjuangan demi kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan.
“Biar orang kata gila kerana belum PRN sudah buat kerja. Bagi saya, kebajikan dan keperluan rakyat Merotai lebih utama,” tegasnya.
Beliau turut menyeru semua ahli PHRS di Bahagian Merotai dan Kukusan agar terus komited menyantuni rakyat serta memperkukuh perpaduan parti menjelang pilihan raya.
“Terima kasih kepada semua yang hadir petang tadi. Ia satu pertemuan luar biasa yang akan saya kenang sampai ke akhir hayat. Kita teruskan perjuangan ini sampai habis,” ujar Liew.
Terdahulu, pembahagian kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) di DUN N.72 Merotai telah diperuntukkan kepada PH.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi sebagai calon mereka di kawasan berkenaan.
Untuk rekod pada PRN 2020, Liew yang bertanding semula di kerusi sama memperoleh 1,779 undi dan berada di tempat ketiga di belakang calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Sarifuddin Hata yang menang dengan 4,058 undi, dan calon Perikatan Nasional (BERSATU/PGRS) Jalani Chachu yang meraih 2,471 undi.






