KOTA KINABALU, SABAH – Pekerja yang terlibat dalam sektor restoran dan pasar raya diberikan masa sebulan bagi melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun dalam sebuah kenyataan mengulas prosedur operasi standard (SOP) negeri Sabah bagi Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang diumumkan semalam.
“Seperti yang dimaklumkan, Kerajaan telah menetapkan bahawa pekerja dan pelanggan mestilah sudah melengkapkan dua dos vaksin…
“Kita juga sedia maklum bahawa ada di antara mereka dalam sektor ini belum divaksin atau belum lengkap divaksin.
“Adalah dinasihatkan agar mereka yg belum divaksin segera mendapatkan vaksin di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdekat,” katanya.
Beliau menyeru pekerja-pekerja pasar raya, restoran dan hotel di sekitar Kota Kinabalu, datang ke PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) untuk tujuan vaksinasi.
“Penguatkuasaan SOP bagi restoran (dine-in) dan pasaraya pada peringkat awal adalah lebih berbentuk pendidikan dan peringatan, bukan untuk mengenakan penalti…
“Penguatkuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas sebulan,” tegasnya.
Beliau berkata pengetatan SOP itu dikuat kuasakan selepas mengambilkira kedudukan pandemik COVID-19 semasa di Negeri Sabah yang mencatatkan kes yg tinggi setiap hari.
“Adalah perlu bagi kita untuk mengambil apa jua tindakan untuk mengurangkan penularan…
“Langkah untuk menguatkuasakan SOP baharu di restoran dan pasaraya adalah bertujuan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dalam ruang niaga,” jelasnya.
Beliau berharap langkah itu akan memberikan manfaat dan jagaan kesihatan kepada pekerja baik pelanggan dan mengurangkan risiko penularan virus COVID-19 semasa berada di restoran dan pasar raya.