KOTA KINABALU, SABAH – Satu kluster baharu yang dikesan kelmarin (Jumaat) iaitu ‘Kluster Donggongon’ berlaku di sebuah premis badan berkanun di daerah Penampang.
Dikategorikan sebagai kluster tempat kerja, kes indeks merupakan pembersih pejabat, seorang wanita, 46 tahun, yang disahkan positif di sebuah klinik swasta pada 4 Ogos.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Saba, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain satu (1) lagi kes dikesan pada tarikh yang sama, pertambahan kes dalam kalangan kontak rakan sekerja direkodkan pada 11 Ogos dengan 12 kes.
“Pada 12 Ogos pula satu (1) kes diikuti tujuh (7) kes pada hari seterusnya dikesan melibatkan rakan sekerja dari daerah Putatan dan Kota Kinabalu,” jelasnya.
Secara kumulatif, kluster itu mencatat 22 kes termasuk lapan (8) kes baharu pada Jumaat selepas hasil saringan terhadap 40 kontak.
Dalam pada itu sembilan (9) lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berkuat kuasa 15 Ogos sehingga 28 Ogos.
Ini termasuk tiga (3) lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Pulutan dan Mansiang di Menggatal dan Tapak Bina Hyatt Centric di pusat bandar.
Dua (2) lokaliti di Beaufort iaitu Kampung Brunei di Membakut dan Rumah Kongsi Tapak Bina Prima di Lumat.