KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatat sebanyak 1,654 kes baharu positif COVID-19 kelmarin (Jumaat) iaitu terdapat penurunan sebanyak 398 kes daripada jumlah 2,052 sebelum ini yang mana telah merekodkan tertinggi setakat ini bagi negeri Sabah.
Meskipun melihat penurunan, sebanyak lapan (8) daerah mencatatkan kes baharu pada julat TIGA (3) digit.
Mengulas lanjut, Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata 15 KES kematian turut dilaporkan di mana ENAM (6) kes dari Kota Kinabalu sementara Tawau dan Sandakan masing-masing mencatat TIGA (3) kes manakala Beaufort, Papar dan Keningau masing-masing SATU (1) kes.
“Daripada jumlah kes hari ini, sebanyak 956 kes atau 57.8 peratus adalah daripada Saringan Kontak Rapat dan 528 kes atau 31.9 peratus melalui Saringan Bergejala…
“Trend semasa memperlihatkan kenaikan ketara kategori bergejala di beberapa daerah menandakan bahawa penularan virus COVID-19 semakin meluas di kalangan komuniti.
“Di daerah Kota Kinabalu, hampir 37 peratus kes baharu hari ini adalah daripada Kategori Bergejala, diikuti Tawau 43 peratus, Tuaran 41.6 peratus, Penampang 29 peratus dan Sandakan 41 peratus,” katanya.
Kategori Bergejala adalah kes-kes yang menular dalam komuniti secara sporadik dan punca penularan sebenar tidak diketahui.
Beliau turut menekankan bahawa jumlah pesakit dalam Kategori 2 (995 kes) juga semakin meningkat berbanding jumlah mereka dalam Kategori 1.
Pada hari yang sama, pihak Jabaran Kesihatan Negeri Sabah berjaya memberi suntikan 54,091 dos kepada penduduk Negeri Sabah dan menghampiri sasaran keupayaan maksimum sebanyak 59,000 dos sehari.