KUDAT: Seramai 56 pelajar Tingkatan Empat dan Lima aliran Sains SMJK Lok Yuk diberi pendedahan awal kepada bidang kejuruteraan minyak dan gas menerusi Program STEM Awareness: Next Gen Oil and Gas yang dianjurkan di sekolah itu baru-baru ini.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif STI 1003, yang bertujuan membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui penglibatan saintis tempatan bersama sekolah-sekolah dalam tempoh pelaksanaan tertentu.
Ketua Program Kejuruteraan Minyak dan Gas Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Norfazliana Abdullah berkata, pendedahan awal penting bagi membantu pelajar memahami skop pengajian serta peluang kerjaya dalam industri tenaga.
“Program ini memberi gambaran jelas kepada pelajar tentang potensi bidang kejuruteraan minyak dan gas serta peranannya dalam pembangunan dan inovasi lestari,” katanya.
Antara pengisian utama ialah aktiviti interaktif Energy Quest serta Pertandingan Inovasi Enhanced Oil Recovery (EOR) yang menguji kreativiti dan pemikiran kritis pelajar dalam menyelesaikan masalah kejuruteraan sebenar.
Program turut menampilkan sesi perkongsian laluan kerjaya oleh wakil industri dan institusi vokasional, dengan kehadiran kira-kira 700 pelajar dan guru SMJK Lok Yuk, sekali gus memperluas impak pendedahan STEM kepada komuniti sekolah.
Pelaksanaan program disokong oleh fasilitator terdiri daripada pelajar Fakulti Kejuruteraan UMS serta pengajar dan pelajar Kolej Vokasional Kudat.






