Beli Barang Dekat Rumah, Elak COVID-19 – Yakub

Beli Barang Dekat Rumah, Elak COVID-19 – Yakub

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Orang ramai yang ingin membeli barangan sempena perayaan Tahun Baharu Cina dinasihatkan berbuat demikian di kedai berdekatan rumah masing-masing.

Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, ini bagi mengelak kesesakan dan penularan COVID-19.

Beliau mengingatkan penduduk Sabah untuk sentiasa berwaspada dan tidak leka akan prosedur operasi standard (SOP) dalam keterujaan menyambut perayaan itu.

Yakub diiringi Noorliza (kiri) menyampaikan kad Tahun Baru Cina 2022 kepada penjaja di Segama…

Dengan itu, beliau juga berharap agar masyarakat majmuk Sabah dapat terus mengekalkan budaya harmonis yang kini sedang dinikmati.

“Di Sabah khususnya, sambutan hari perayaan dilihat sebagai satu budaya bersama. Kita dapat melihat kalangan masyarakat meraikan hari-hari perayaan tanpa mengira kaum mahupun bangsa…

“Kita masih hidup subur dan harmoni dan mudah-mudahan budaya ini terus dapat dikekalkan kerana budaya inilah yang sebenarnya melambangkan identiti kita sebagai orang Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Lawatan Pasar Malam Terbuka Tahun Baharu Cina 2022 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Segama, di sini, petang tadi.

Sebanyak 150 tapak jajaan bawah seliaan DBKK di Segama hari ini dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip yang turut hadir dalam lawatan tersebut berkata pasar malam sempena Tahun Baru Cina juga dibuka di Yu Sang, Kepayan, kawasan parkir Dewan Damai dan Tapak Tamu Menggatal mengikuti jadual yang sama.