Doktor China Sarankan Wanita Kurang Tenaga Tengok Lelaki Berotot

Doktor China Sarankan Wanita Kurang Tenaga Tengok Lelaki Berotot

0
SHARE

CHINA: Seorang doktor pakar sakit puan dari Hospital Universiti Sains dan Teknologi Huazhong Xiehe Shenzhen, China menyarankan wanita yang mengalami kekurangan tenaga atau darah agar melihat lelaki berotot untuk meningkatkan mood dan melegakan tekanan mereka.

Menerusi video di media sosial, He Zhenye, berkata wanita mempunyai qi, atau tenaga vital yang rendah atau kekurangan darah sering mengalami mood yang rendah dan tahap tekanan yang tinggi.

“Bagi membantu mengawal keadaan fizikal dan mental wanita sedemikian, penggunaan keseronokan visual adalah ubat.

“Ketegangan emosi juga dapat dikurangkan dengan mengelakkan hubungan romantis yang berlebihan dan meningkatkan rangsangan visual yang positif dengan melihat lelaki yang lebih berotot,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa berbuat demikian boleh merangsang pengeluaran dopamin dalam otak, yang membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood seseorang.

“Kajian menunjukkan bahawa keseronokan visual boleh meningkatkan mood dan mengurangkan tekanan terutama bagi wanita yang mengalami masalah tidur atau keletihan akibat kerja berlebihan,” tambahnya.

Menerusi video lain, He juga memberikan nasihat yang tidak konvensional, seperti mengesyorkan wanita memakai lebih banyak perhiasan emas.

Beliau memetik kepercayaan perubatan tradisional Cina bahawa emas memberi manfaat kepada jantung dan menyuburkan limpa.

He mempunyai lebih 133,000 pengikut di platform media sosial dan mengaku dirinya seorang pakar dalam diagnosis piawai dan rawatan ginekologi.