Lelaki Maut Dalam Kemalangan Babitkan Empat Kenderaan di Jalan Kunak-Tawau

Lelaki Maut Dalam Kemalangan Babitkan Empat Kenderaan di Jalan Kunak-Tawau

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Seorang lelaki berusia 31 tahun disahkan maut di lokasi kejadian selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Kunak-Tawau, tengah hari tadi.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 12:54 tengah hari dan melibatkan sebuah lori 5 tan, Mitsubishi Triton, Toyota Hilux SR dan Perodua Aruz yang dipandu mangsa.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dengan kekuatan lapan anggota tiba di lokasi pada jam 1:43 petang, kira-kira 52 kilometer dari balai.

“Mangsa yang memandu Perodua Aruz disahkan meninggal dunia oleh pihak polis di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan mangsa lain dalam insiden tersebut,” kata seorang pegawai jurucakap.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2:42 petang setelah keadaan disahkan selamat.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.