Bekas Wartawan Melodi TV3, Nas Ahmad Meninggal Dunia Hari Ini

Bekas Wartawan Melodi TV3, Nas Ahmad Meninggal Dunia Hari Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas penerbit dan wartawan program hiburan Melodi, Nas Ahmad, 65, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat kekurangan oksigen kira-kira jam 9.49 pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, menantunya, Farhana Nazlin Mohamad berkata, Nas atau nama sebenar, Md Nasir Ahmad, 65, menghembuskan nafas terakhir di Zon Kecemasan HSB selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu semalam akibat paras oksigen dalam tubuh rendah.

“Arwah kekurangan oksigen. Oksigen dia ‘drop’ semalam dan ambulans bawa ke zon merah. Masa rawatan, arwah banyak bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Pagi tadi, kami terima panggilan daripada pihak hospital menyatakan arwah sudah tiada. Sekarang, jenazah masih di bahagian forensik,” katanya.

Mengenai urusan pengebumian, Farhana Nazlin berkata, perkara itu akan dimaklumkan kemudian memandangkan ada beberapa perkara berkaitan jenazah perlu diselesaikan.

“Urusan kafan, solat dan pengebumian akan dimaklumkan kemudian selepas urusan di hospital selesai,” katanya lagi.

Sebelum ini, Allahyarham pernah mengejutkan industri hiburan apabila fotonya dalam keadaan fizikal kelihatan uzur akibat masalah jantung tular.

Sebelum menyertai program Melodi, Allahyarham yang terkenal dengan gelaran ‘Abang Rambut Ketak’ terlebih dahulu menjadi wartawan sambilan majalah hiburan URTV sekitar era 1980-an.

Ketika bertugas di Melodi, arwah cukup sinonim dengan segmen Terjah iaitu segmen memburu golongan artis dan penggiat seni untuk mendapatkan pencerahan mengenai kontroversi yang menimpa mereka.

Selepas meninggalkan TV3, arwah mewujudkan saluran YouTube yang dinamakan Nas Ahmad Terjah.

Pada April 2024, Allahyarham menerima pengiktirafan sebagai Ikon Melodi. Allahyarham meninggalkan seorang balu, tiga anak dan dua cucu.