PKR Sabah: Hentikan Pembohongan Mengenai Kerjasama PH-BN

PKR Sabah: Hentikan Pembohongan Mengenai Kerjasama PH-BN

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tiada pertemuan rasmi diadakan di kalangan pemimpin Pakatan Harapan Sabah dan Barisan Nasional Sabah berhubung dakwaan pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Suhaimi Nasir, mendakwa UMNO Sabah akan bertanding 40 kerusi , manakala baki 33 kerusi diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH).

Suhaimi juga mendakwa bahawa PH dan Barisan Nasional (BN) sudah mencapai persefahaman dan tidak akan ada pelanggaran agihan kerusi, serta PH bersetuju dengan kerusi yang mahu ditandingi oleh BN.

Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Razeef Rakimin menjelaskan, pertemuan tidak rasmi telah diadakan namun tiada perbincangan rasmi diadakan antara PH dan BN berkenaan agihan kerusi.

“Kami tidak tahu dari mana Suhaimi mendapat angka 40 kerusi tersebut dan kami juga tidak tahu dengan siapa beliau berbincang.

“Kami meminta UMNO untuk menasihati pimpinan mereka di Sabah agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan, terutama apabila ia melibatkan kerjasama antara PH dan BN.

“Sebaiknya, perundingan perlu dimulakan dahulu sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa Keadilan dan PH Sabah terbuka untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai aspirasi yang sama untuk kemajuan negeri Sabah.

“Namun, biarlah perkara ini dibincangkan melalui pertemuan rasmi,” tambahnya.

Razeef juga telah mendapat pengesahan daripada semua pimpinan dalam PH yang menegaskan bahawa tiada perbincangan rasmi dibuat setakat ini.

“Pemimpin BN Sabah telah berkali-kali mengeluarkan kenyataan seperti ini walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan PH ataupun membincangkan perkara ini.

“Jadi kami berharap BN berhenti menyebarkan pembohongan dan membuat kenyataan yang tidak benar mengenai kerjasama dalam PRN-17,” ujarnya.