Kemasukan Awal Darjah Satu Perlu Dinilai Secara Menyeluruh, Ambil Kira Realiti Sabah...

Kemasukan Awal Darjah Satu Perlu Dinilai Secara Menyeluruh, Ambil Kira Realiti Sabah – Pakar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dasar membenarkan kanak-kanak berumur enam tahun memasuki Darjah Satu secara sukarela mulai 2027 perlu dinilai secara menyeluruh agar pelaksanaannya benar-benar menyokong perkembangan kanak-kanak secara holistik, khususnya dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak (PAKK) di Sabah.

Pensyarah Kanan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Juppri Bacotang berkata, dasar yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 itu berpotensi memberi manfaat, namun perlu dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengelakkan ketidaksaksamaan baharu dalam sistem pendidikan.

Menurut beliau, tahap kesediaan kanak-kanak di Sabah adalah tidak seimbang, terutama antara kawasan bandar dengan luar bandar dan pedalaman, di mana masih terdapat kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan prasekolah berkualiti atau langsung tidak mengikuti pendidikan awal formal.

“Dalam keadaan ini, kemasukan awal ke Darjah Satu berisiko lebih memihak kepada kanak-kanak bandar yang telah menerima rangsangan akademik dan sosioemosi sejak awal,” katanya.

Dr. Juppri menegaskan bahawa kemasukan awal ke Darjah Satu tidak seharusnya memendekkan fasa PAKK atau memberi penekanan berlebihan terhadap pencapaian akademik, sebaliknya perlu mengekalkan pendekatan pembelajaran melalui bermain (learning through play) yang terbukti menyokong perkembangan kognitif, sosial, emosi dan fizikal kanak-kanak.

Beliau turut menekankan bahawa konsep “sukarela” perlu diperjelaskan agar tidak disalah tafsir sebagai penanda aras kecerdasan, dengan keputusan kemasukan dibuat berdasarkan penilaian kesediaan holistik meliputi aspek kognitif, emosi, sosial dan fizikal.

Selain itu, beliau berkata pelaksanaan dasar ini menuntut kesiapsiagaan sekolah dari segi penambahan guru terlatih PAKK, pengurangan nisbah murid-guru, penyediaan infrastruktur serta latihan profesional berterusan, terutama di sekolah luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan kekangan sumber.

“Tanpa perancangan rapi dan peruntukan mencukupi, murid yang lebih muda berisiko menghadapi tekanan emosi dan keciciran secara senyap,” katanya.

Dr. Juppri turut menegaskan pelaburan dalam pendidikan awal perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang memberi pulangan sosial dan ekonomi tinggi, termasuk pengurangan keciciran dan pembentukan modal insan berkualiti.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan peluasan akses prasekolah berkualiti di Sabah, garis panduan penilaian yang sensitif kepada konteks setempat, serta kerjasama strategik antara kementerian dan institusi pengajian tinggi seperti UMS bagi melahirkan guru PAKK yang mencukupi dan kompeten.

“Dasar ini berpotensi memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak jika dilaksanakan dengan kebijaksanaan, keseimbangan dan komitmen jangka panjang terhadap kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.