KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memansuhkan pengwujudan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan di Sabah kerana negeri itu sudah mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK sendiri.
Menurut beliau, langkah berkenaan penting bagi menghormati perundangan Negeri Sabah selaras dengan agenda reform nasional serta kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia.
“Penampang menyokong penuh agenda reform nasional seperti penyasaran semula subsidi, pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh maksimum Perdana Menteri, penggubalan undang-undang pendanaan politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan undang-undang lapuk serta inisiatif pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.
“Namun, agenda reform ini mesti turut merangkumi kepentingan Sabah dan Sarawak, termasuk pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta penghormatan terhadap perundangan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sesi Persidangan Parlimen di sini, kelmarin.
Ewon berkata, campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadbiran kampung di Sabah, sedangkan negeri itu telah mempunyai kerangka perundangan sendiri, menimbulkan rasa sangsi dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan perkara tersebut memerlukan penjelasan serta maklum balas yang jelas daripada Kerajaan Persekutuan.
“Rakyat Sabah telah menyampaikan mesej yang jelas dan menuntut agar perkara ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus dipelihara, namun mesti dilaksanakan dengan menghormati kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia, selaras dengan Perjanjian Malaysia dan syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama.






