Bekas Pengarah JANS Dihukum Penjara 96 Tahun, Denda RM284.3 Juta

Bekas Pengarah JANS Dihukum Penjara 96 Tahun, Denda RM284.3 Juta

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63 dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 96 tahun ke atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini.

Ag Mohd Tahir turut dikenakan denda keseluruhan RM284.3 juta dan sekiranya gagal membayar denda tersebut tempoh hukuman penjaranya akan ditambah 78 bulan.

Keputusan itu itu dibuat Hakim Abu Bakar Manat selepas mendapati dia bersalah dengan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di sini, pagi tadi.

Hukuman penjara adalah 8 tahun bagi setiap satu pertuduhan selepas pertimbangan mahkamah yang kemudian memutuskan kesemua hukuman berjalan serentak dari tarikh sabitan, iaitu hari ini.

Mahkamah turut memohon penangguhan penjara dan denda, sementara menunggu kes rayuan terhadap keputusan mahkamah ke Mahkamah Tinggi.

Ag Mohd Tahir dituduh bersalah di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 kerana memiliki harta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Sebelum itu, isterinya, Fauziah Piut, 61 dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72 telah dilepaskan dan dibebaskan masing-masing daripada 19 dan 4 pertuduhan selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili pasukan peguam diketuai Datuk Ansari Abdullah, manakala Lim diwakili Datuk Tan Hock Chuan bersama pasukannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas didakwa pada 28 Disember 2016.