Gajah Hilang Kepala dan Gading Ditemui di Tongod, Siasatan Pemburuan Haram Dijalankan

Gajah Hilang Kepala dan Gading Ditemui di Tongod, Siasatan Pemburuan Haram Dijalankan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan kerjasama Polis dan renjer komuniti berhubung penemuan seekor gajah Borneo jantan yang ditemui mati di Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dengan keadaan mencurigakan termasuk bahagian kepala dan gading yang hilang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan mengarahkan siasatan segera serta tindakan tegas jika terbukti berlaku jenayah hidupan liar.

“Pasukan menerima aduan pada jam 8.25 pagi berhubung penemuan bangkai gajah yang disyaki berkaitan jenayah hidupan liar,” katanya.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 17 Mei sekitar jam 5.30 petang apabila pekerja ladang terdengar bunyi letupan kuat, namun operasi awal terganggu akibat hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati gajah tersebut dianggarkan setinggi 2.9 meter dengan kesan potongan pada bahagian muka serta ketiadaan gading, namun tiada kesan tembakan ditemui setakat ini.

“Siasatan masih diteruskan termasuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian sebenar,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan menggesa orang awam tampil menyalurkan maklumat berkaitan kes itu.