KOTA KINABALU: Dua lelaki cedera selepas diserang dengan senjata tajam dalam satu kejadian di jambatan berhampiran Blok C, Kampung Sembulan Lama, pada Ahad (17 Mei) sekitar jam 8 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, insiden berlaku selepas berlaku salah faham antara mangsa dan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai “Totong” ketika mereka berada di lokasi untuk membeli minuman.
“Susulan salah faham tersebut, satu pertengkaran telah tercetus sebelum suspek dipercayai pulang ke rumah untuk mengambil senjata tajam dipercayai sabit dan kapak.
“Suspek kemudiannya kembali semula ke lokasi kejadian lalu menyerang kedua-dua mangsa,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa pertama cedera di bahagian belakang leher dan kaki, manakala mangsa kedua cedera di leher dan lengan. Kedua-duanya dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital.
Polis telah menjalankan siasatan di lokasi serta merakam keterangan saksi. Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala usaha mengesan suspek masih giat dijalankan.






