KOTA KINABALU, SABAH – Isteri kepada bekas Ketua Menteri dan Gabenor pertama Sabah, Toh Puan Rahimah Stephens, telah meninggal dunia pada umur 91 tahun awal hari ini akibat serangan jantung.
Balu Tun Mohd Fuad Stephens itu dikatakan sedang menunggu temu janji di sebuah hospital swasta di sini setelah terjatuh minggu lalu dan mengalami patah tulang.
Difahamkan bahawa seorang pakar bedah akan tiba untuk merawatnya hari ini tetapi sudah terlambat. Allahyarhamah menghembus nafas terakhir di kediamannya di Jalan Lintas.
Beliau dilahirkan pada 22 Oktober 1930 di Beaufort dan pernah menjadi ADUN kawasan Kiulu, Tuaran serta Menteri Kebajikan Negeri.
Toh Puan Rahimah merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri dalam Kerajaan Negeri Sabah…
Sebilangan besar pemimpin dari Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah memberi penghormatan terakhir hari ini termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.


Mengiringi Hajiji ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Haji Ghulam Haidarkhan Bahadar.
ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata Rahimah meninggalkan legasi besar di Kiulu, di mana beliau menjadi wakil rakyat antara 1976 dan 1985.
“Sumbangan besar beliau dalam mendorong pembangunan infrastruktur seperti jalan Kiulu-Tamparuli dan penyambungan elektrik di Kiulu akan sentiasa dikenang sebagai legasi beliaiu sebagai ADUN Kiulu.
“Dia tidak pernah kedekut dengan nasihat dan dorongan setiap kali saya bertemu dengannya. Dalam setiap perbualan kami, jelas Kiulu dekat di hatinya,” kata Setiausaha Agung PBS dalam catatan Facebook miliknya.
Untuk rekod, Allahyarhamah menghadiri acara memperingati Tragedi ‘Double Six’ dekat Sembulan di sini setiap tahun yang mengorbankan ramai menteri Sabah pada tahun 1976 termasuk suaminya sendiri.





