KKM Sarankan Semua Pihak Main Peranan Atasi Peningkatan Kes Bunuh Diri Akibat...

KKM Sarankan Semua Pihak Main Peranan Atasi Peningkatan Kes Bunuh Diri Akibat COVID-19

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Semua pihak disarankan memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi peningkatan risiko tindakan bunuh diri ketika ini yang mana dipengaruhi oleh kesan pandemik COVID-19, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata pandemik selama lebih setahun lalu itu menjejaskan kesihatan mental kebanyakan individu, yang meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak yang berdepan gangguan emosi untuk mendapatkan bantuan, manakala individu lain boleh memainkan peranan dengan mengambil tahu situasi keluarga dan rakan masing-masing.

“Pandemik ini sangat memberi kesan kepada semua orang dan meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri…

“Bunuh diri boleh dielakkan. Kita semua perlu memainkan peranan. Dapatkan bantuan, belajar untuk mengenal pasti tanda tingkah laku, tunjukkan keprihatinan, jangan diskriminasi.

“Kami bersedia untuk membantu anda,” katanya menerusi Twitter, hari ini, sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (WSPD) 2021.

WSPD yang disambut pada 10 September setiap tahun, dianjurkan Persatuan bagi Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP) yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi menggambarkan komitmen global untuk memberi fokus terhadap pencegahan bunuh diri.

Sementara itu, Khairy menerusi rakaman video, menegaskan individu yang berdepan gangguan emosi perlu menyedari yang mereka tidak keseorangan.

Khairy Jamaluddin…

“Kepada individu yang sedang bertarung dengan kemurungan, keresahan. Anda tidak keseorangan. Jangan anggap anda keseorangan, walaupun anda di saat paling gelap…

“Bantuan tersedia. Harap anda dapat mengatasinya dan kami sedia membantu anda,” katanya.

Khairy turut meletakkan dua talian yang boleh dihubungi bagi mereka yang berdepan gangguan emosi dan memiliki hasrat bunuh diri, iaitu Talian Kasih (15999) dan Befrienders (03-76272929).

COVID-19 yang mula menular pada akhir Disember 2019, memberi kesan pada kesihatan mental masyarakat akibat pelbagai faktor, antaranya kesan sosial seperti sekatan pergerakan, serta impak ekonomi akibat kehilangan pekerjaan.

Semalam, BH melaporkan pandemik itu turut memberi kesan pada petugas kesihatan negara apabila lebih 70,000 dikesan mengalami pelbagai gangguan emosi seperti tertekan, kemurungan dan kecelaruan, selain kelesuan melampau selepas berdepan COVID-19 sejak Januari tahun lalu.

Ada kakitangan kesihatan yang ditemu bual BH, mengaku menangis setiap hari selama sebulan apabila pulang ke rumah, tertekan, berasa tidak berguna kerana tidak dapat menyelamatkan pesakit, selain kemanusiaan diri tercabar apabila terpaksa memilih pesakit yang perlu ‘dilepaskan’ setiap hari.

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) pula mendedahkan ada petugas kesihatan yang terdesak akibat gangguan emosi disebabkan pandemik COVID-19, mengambil dadah dan pil tidur bagi mengurangkan tekanan, selain mereka berisiko berdepan gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), yang boleh membawa kepada keinginan bunuh diri.