Sekumpulan Penyamun Lembu Bunuh 35 Orang Penduduk Kampung Nigeria

Sekumpulan Penyamun Lembu Bunuh 35 Orang Penduduk Kampung Nigeria

0
SHARE

KANO, NIGERIA – Sekurang-kurangnya 35 orang penduduk di LIMA (5) kampung di Zamfara, barat laut Nigeria telah dibunuh oleh sekumpulan penyamun lembu.

Jurucakap polis negeri, Mohammed Shehu memberitahu kepada AFP bahawa 35 orang itu sah terbunuh oleh penyamun lembu di lima buah kampung terlibat.

“Mereka menembak serta membakar rumah dan menghilangkan diri sebelum pasukan keselamatan tiba kerana kawasan itu sukar dijejaki berikutan keadaan jalan yang teruk,” katanya.

Terdapat juga laporan daripada penduduk tempatan yang dikenali sebagai Danladi Sabo yang mendakwa sekurang-kurangnya 43 orang kampung terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam serangan lewat Khamis lalu itu.

“Kita menemui 43 mayat dari sekitar perkampungan itu, yang dikebumikan semalam manakala tujuh lagi yang cedera dibawa ke hospital di ibu negeri, Gusau,” katanya.

Menurut sumber yang dipetik AFP, sekumpulan penyamun yang menunggang motosikal dan bersenjata api itu dikesan melancarkan serangan terancang di kawasan perkampungan terpencil, Gidan Adamu, Tsauni, Gidan Baushi, Gidan Maidawa dan Wari di daerah Maradun.

Negeri di barat daya dan tengah Nigeria sering diancam kumpulan pengganas yang mahu mencuri ternakan dan menceroboh perkampungan, membunuh, merampas dan membakar rumah.

Terdahulu pada Rabu, penyamun tersebut dilaporkan turut membunuh 18 orang apabila mereka menyerang perkampungan Tsauwa di kejiranan Katsina.

Difahamkan motif kumpulan ini adalah untuk mendapatkan sumber kewangan tetapi ramai di antara mereka muncul dalam video dikaitkan dengan kumpulan jihad, dalam usaha menubuhkan negara Islam.