PHUKET: Seramai 24 pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan mencipta pencapaian membanggakan apabila mewakili Malaysia Borneo ke HIPPO The Contest 2026 – Pusingan Benua Asia Pasifik, bersaing dengan peserta dari 20 negara dan wilayah.
Detik gemilang kontinjen itu hadir apabila Alton Chin Bo Yik dari SJKC Yuk Chin, Tawau meraih tempat ketiga kategori Little HIPPO, manakala Puteri Aulia Delisya Mohd Syahmi dari SK Wira Jaya, Kota Samarahan turut memperoleh tempat ketiga kategori HIPPO 1, sekali gus menghadiahkan dua kedudukan podium antarabangsa buat Malaysia.
Pertandingan berprestij itu menghimpunkan pelajar terbaik bahasa Inggeris dari rantau Asia Pasifik, sekali gus menjadi platform untuk menguji kecekapan bahasa, selain memupuk persefahaman dan pertukaran budaya antara negara.
Kontinjen Borneo layak ke peringkat ini selepas melepasi pusingan kebangsaan, mencerminkan peningkatan kecemerlangan pelajar dari Malaysia Timur dalam pertandingan akademik bertaraf antarabangsa.
Sepanjang program, para peserta turut menyertai aktiviti pertukaran budaya dan membina jaringan persahabatan dengan rakan dari pelbagai negara, sambil mengharumkan nama Sabah, Sarawak, Labuan dan Malaysia di pentas global.






