Mayat Lelaki Tanpa Identiti Ditemui Terapung di Jeti Angkasa Baru Kudat

Mayat Lelaki Tanpa Identiti Ditemui Terapung di Jeti Angkasa Baru Kudat

0
SHARE

KUDAT: Mayat seorang lelaki dewasa yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemukan terapung di kawasan Jeti Angkasa Baru di sini pada pagi Ahad, sebelum berjaya dibawa naik oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kudat, Supt Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 10.50 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota Polis Daerah Kudat bersama Pasukan Polis Marin digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Hasil siasatan awal mendapati mayat tersebut merupakan seorang lelaki dewasa berusia lingkungan 30-an yang masih belum dikenal pasti identitinya dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Kudat bagi tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti mangsa atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat atau Pegawai Penyiasat, Insp. Ganesh A/L Arumugam di talian 014-9052819.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PPgB Darickson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan daripada IPD Kudat berhubung penemuan mangsa sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 10.43 pagi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan tidak bernyawa terapung di permukaan air.

“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa dari permukaan air sebelum menyerahkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti dan selepas mangsa berjaya diserahkan kepada pihak polis serta dipastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.18 pagi,” katanya.