Simpan Hasil Haiwan Terlindung, Lelaki Ditahan

Simpan Hasil Haiwan Terlindung, Lelaki Ditahan

0
SHARE

SOOK, KENINGAU – Seorang lelaki berusia 52 tahun telah ditahan kerana menyimpan sejumlah lapan jenis hasil haiwan yang disyaki dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Kira-kira jam 12.40 tengahari pada 10 September, satu serbuan telah dibuat di kediaman suspek yang terletak di Kampung Tuawon Terusmadi.

Hasil pengeledahan telah menjumpai 4 tapak kaki dan 9 gigi Beruang Madu, sisik Tenggiling, 1 tengkorak Burung Enggang, 7 pasang dan 4 batang tanduk Kijang, 6 pasang tanduk Rusa, 7 batang duri Landak, 6 ekor burung Serindit hidup dan 2 ekor kura-kura hidup.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Encik Augustine Tuuga berkata, hasil risikan berterusan sejak sebulan lalu telah berjaya membawa kepada serbuan di Kg. Tuawon tersebut.

Tangkapan dibuat hasil daripada Operasi Bersepadu bersama pasukan Jabatan Hidupan Liar, Polis DiRaja Malaysia dan PROTECT Jabatan Perhutanan Sabah (JPS)…

Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41, iaitu milikan haiwan dan hasil haiwan dilindungi dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Menurutnya, Beruang Madu dan Tenggiling merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Negeri Sabah…

Menyimpan haiwan atau hasil haiwan ini tanpa kebenaran yang sah adalah merupakan satu kesalahan dan boleh disabit hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada 1 tahun dan tidak melebihi 5 tahun dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Encik Augustine turut mengingatkan orang awam bahawa jabatan ini melalui Unit Risikannya sentiasa memantau dan mengenalpasti sebarang aktiviti haram atau jenayah terhadap hidupan liar melalui media sosial.

Beliau juga berterima kasih dan mengalu-alukan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan jenayah hidupan liar seperti ini agar memaklumkan kepada pihak jabatan dengan kadar segera.