KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa ubat yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak semasa dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Jumaat lalu adalah jenis yang sama dan dalam senarai ubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya, bekas Perdana Menteri itu mendapat pemeriksaan dan ujian kesihatan oleh pakar perunding kanan bertauliah terdiri daripada ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.
Menurutnya, sebaik dimasukkan ke HKL, Najib dirujuk sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik dan optimum.
“Pihak HKL juga mengadakan sidang keluarga sebanyak dua kali yang dihadiri bekas Perdana Menteri itu dan ahli keluarganya…
“Keputusan ujian dimaklumkan semasa sidang itu mengikut amalan profesional kedoktoran. Mereka dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar perunding supaya beliau dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL.
“Dimaklumkan juga bahawa jenis ubat yang dipreskripsi semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dipetik MyMetro.
Mengulas lanjut, katanya, keadaan Najib sihat sebelum dibenarkan discaj.
Noor Hisham berkata, KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit mengikut Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).
Kata beliau, sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan pesakit boleh dikemukakan kepada Mahkamah sekiranya diarahkan pihak berkenaan.
Terdahulu, Najib dilaporkan akan dirujuk ke Hospital Kajang petang ini berikutan ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk ke atas beliau.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi, hari ini.