TENOM: Seramai 19 pelajar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi bagi pengambilan Januari menerima bantuan pendidikan dalam satu majlis penyampaian di Pusat Khidmat ADUN Melalap, di sini, pada Sabtu.
ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, bantuan berkenaan melibatkan pelajar peringkat diploma dan ijazah sebagai kesinambungan program sokongan pendidikan yang telah lama dilaksanakan di kawasan itu.
“Pada fasa pertama ini, seramai 19 pelajar menerima bantuan dan diharapkan ia dapat meringankan beban ibu bapa serta membantu perbelanjaan awal pelajar apabila melanjutkan pengajian,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurut Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan itu, bantuan itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah menjadi galakan kepada golongan muda di Melalap untuk terus menuntut ilmu dan mencapai kecemerlangan akademik.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan, termasuk bantuan kewangan secara sekali bayar sebanyak RM2,000 untuk pelajar ijazah dan RM1,500 bagi pelajar diploma.
Selain itu, pelajar daripada golongan B40 layak memohon bantuan komputer, manakala pelajar di kampus milik Kerajaan Negeri turut menerima bantuan tiket penerbangan RM600 setahun.
Sehubungan itu, Jamawi menyeru pimpinan masyarakat di peringkat kampung termasuk Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Ketua Anak Negeri dan Wakil Ketua Anak Negeri agar memperluaskan maklumat berkaitan bantuan pendidikan kepada penduduk setempat supaya lebih ramai pelajar dapat memanfaatkannya.






