KOTA KINABALU, SABAH – Syarikat penerbangan tempatan termasuk mereka yang melabelkan diri sebagai “kos tambang rendah” masih mengenakan harga yang melampau seakan-akan cuba mengaut keuntungan lumayan ketika rakyat ingin kembali bekerja selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Susulan pembukaan semula sempadan negara pada April lalu, ruangan udara bagi penerbangan domestik kembali sibuk namun apa yang disangka sebagai berkat kepada penduduk negeri ini lebih ketara sebagai beban.
Harga tiket penerbangan kurang dari sejam dari Tawau ke ibu kota negeri, Kota Kinabalu yang mencecah sehingga lebih RM1,000 bagi tiket sehala digelar “tidak masuk akal” bukan sahaja oleh pelanggan tetapi Menteri sekali.
Malahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah “menegur” perkhidmatan penerbangan agar tidak mengenakan harga yang tiket terlalu mahal tetapi dilihat syarikat-syarikat utama industri degil dan meneruskan harga mencekik.

Ramai penduduk terutamanya yang bekerja jauh dari keluarga mula meluahkan rasa kemarahan terhadap situasi tersebut.
“Bukannya saya mahu melancong, tapi turun (ke Kota Kinabalu) untuk bekerja. Mahu luangkan lebih masa bersama keluarga itulah saya pilih guna kapal terbang…
“Tengok-tengok harga tiket macam harga Yahudi,” kata Zaidi Nasir apabila dihubungi SabahNews.
Seorang lagi wanita berumur 34 tahun yang enggan dinamakan juga merungut dengan kadar tambang melampau itu.
“Kalau harga tiket sehala dari Tawau saja berharga 800 ringgit lebih baik saya deposit kereta terus…
“Mangsa situasi ini bukanlah kerabat diraja tetapi golongan yang bekerja untuk menyara diri dan keluarga,” katanya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor bulan lalu telah menggesa Menteri Pengangkutan agar meneliti perkara yang tidak lagi mengejutkan itu dengan segera, sekaligus mengurangkan harga yang melonjak lebih 500 peratus berbanding harga tambang bukan musim perayaan.

“Ia membebankan rakyat, oleh itu, kita di kabinet negeri merasakan pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak,” katanya.
Dua hari selepas itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dalam kenyataan menjelaskan kenaikan harga itu disebabkan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga bahan api jet serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan.
Beliau juga berkata harga itu bagi meningkatkan kapasiti syarikat penerbangan sepenuhnya selain kos penyelenggaraan pesawat.

Kata beliau, mekansima harga itu ditetapkan secara dinamik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bukan secara sesuka hati seperti didakwa.
“Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ,Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan, pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang…
“CAAM telahpun meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan.
“Ini akan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan,” katanya.
Walau bagaimanapun, penjelasan yang diberi nampaknya hanya sekadar kata-kata kerana penduduk Sabah sekarang tetap terpaksa menanggung beban kos yang tinggi dan menggangu bajet sehingga bulan-bulan seterusnya.





