KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia terutamanya golongan belia perlu berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata ada beberapa kes di negara jiran Kemboja baru-baru ini rakyat Malaysia diperdaya dengan tawaran pekerjaan palsu.
“Rakyat Malaysia perlu berhati-hati dengan tawaran pekerjaan yang dibuat dengan cara pelbagai, ada yang Whatsapp terus ke nombor telefon pencari kerja. Kalau boleh rakyat Malaysia periksa betul-betul (kesahihan) tawaran kerja,” katanya pada sidang media di Wisma Putra semalam.
Saifuddin berkata perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia memberikan nasihat mengenai perkara itu serta membantu warga Malaysia yang berada dalam kesukaran.
Beliau berkata rakyat Malaysia yang memerlukan maklumat berhubung kesahihan syarikat terlibat boleh mendapatkan bantuan Kedutaan Malaysia di negara masingmasing atau perkhidmatan konsular kementerian.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan 16 rakyat Malaysia yang mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja telah selamat tiba di Malaysia dari Phnom Penh bulan lepas .
Beliau berkata masih ada lebih 20 lagi mangsa ditahan di Phnom Penh dan menunggu untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata beberapa negara telah menzahirkan kesediaan menerima lebih ramai pelarian Rohingya di Malaysia untuk proses penempatan semula di negara masing-masing.
Beliau berkata proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga terjejas sejak dua tahun lepas berikutan pandemik COVID 19.
“Ada indikasi ada negara setuju lipatgandakan penerimaan jumlah pelarian Rohingya (yang sekarang berada di Malaysia),” katanya apabila diminta mengulas mengenai isu pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Kedah, bulan lepas.
Safuddin berkata beliau juga telah bertemu pengarah UNHCR di Kuala Lumpur bagi membincangkan proses penempatan semula Rohingya.
Setakat Mac tahun ini, UNHCR menganggarkan terdapat kira-kira 103,810 Rohingya berada di Malaysia.
– BERNAMA