Timbalan Presiden Parti KDM Sahkan Keluar Dari Parti

Timbalan Presiden Parti KDM Sahkan Keluar Dari Parti

0
SHARE
Juil
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Facebook ADUN Limbahau )

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Rakyat (KDM) Datuk Juil Nuatim mengesahkan keluar parti bagi menyokong kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau itu berkata hasratnya itu sudah sampai ke telinga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada satu majlis rumah terbuka di Papar pada Sabtu.

“Saya dan (Presiden KDM) saudara Datuk Peter Anthony tidak ada masalah. Dia memahami.

“Cumanya Limbahau akan terus ketinggalan dari segi pembangunan jika terus tanpa pembiayaan seperti ini.

“Lebih baik bersama kerajaan sebaris dengan Ahli Parlimen Papar (Datuk Armizan Mohd Ali).

“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mahu menyerap KDM dan itu tidak mengapa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tanpa menyatakan jumlah sebenar, beliau berkata semua ketua bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian KDM Papar akan menyertainya dalam penantian sebagai calon bebas.

Juil berkata jawatan beliau mungkin digantikan oleh salah seorang anak Peter.

Kini hanya Datuk Peter Anthony (Melalap) dan Datuk Wetrom Bahanda (Bandau) yang kekal sebagai ADUN dalam parti terbabit.

KDM yang ditubuhkan pada 2021 berikrar untuk menyokong GRS tetapi menjadi sebahagian daripada gerakan gagal menggulingkanya pada awal tahun ini.