
KOTA KINABALU, SABAH – Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dilaksanakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah minggu hadapan bermula 22 sehingga 25 Mei ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan menangguhkan pembentangan rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan negeri berkaitan anti lompat parti.
Beliau juga turut menafikan dakwaan pembangkang yang menyatakan pembentangan RUU terbabit dilakukan bagi menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti lain.
Mengulas lanjut, RUU Anti Lompat Parti melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Negeri ini memerlukan kelulusan ketua negeri ( Yang di-Pertua Negeri Sabah) dan Yang di-Pertuan Agong sebelum boleh dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Jadi, tidak benar seperti yang didakwa pembangkang bahawa kita sengaja melengah-lengahkannya. Kita mesti patuhi prosedur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat pra majlis bertempat di Menara Kinabalu, disini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji turut berkata RUU Pindaan Perlembagaan Negeri memerlukan majoriti dua pertiga di DUN Sabah untuk diluluskan.
“Saya yakin RUU itu akan mendapat sokongan penuh daripada GRS dan ahli Pakatan Harapan.
“Saya juga menggesa wakil pembangkang untuk menyokong RUU itu kerana mereka memperjuangkan agar RUU itu diluluskan di Sabah,” katanya.