KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri telah meluluskan kesinambungan Projek Pembangunan Skim Penempatan Semula.
Ianya sebagai salah satu program yang menjurus kepada kesejahteraan kehidupan rakyat yang merupakan antara Teras Hala Tuju dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0.
Pihak Taman Perindustrian Kota Kinabalu (K.K.I.P. Sdn Bhd) melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian telah merancang pembangunan Skim Penempatan Semula V12 Fasa 3 yang akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat.
Buat masa ini, Skim Penempatan V 12 Fasa 3A & 3B yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 20 ekar akan menyediakan kira-kira 89 buah rumah.
Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, Projek V 12 Fasa 3A & 3B ini telah dirancang untuk siap hujung April 2023.
“Kerajaan Negeri komited untuk terus membangunkan baki fasa Projek V 12 iaitu Fasa 3C & 3D atas kawasan seluas kira-kira 20 ekar setelah Fasa 3A & 3B ini disiapkan…
“Satu Jawatankuasa Penempatan Semula telah ditubuhkan yang mana buat masa ini diterajui oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan dianggotai oleh wakil-wakil dari agensi Kerajaan yang berkenaan seperti Jabatan Tanah & Ukur, Jabatan Peguam Negeri, Kementerian Kewangan, Jabatan Hasil Bumi, Pejabat Daerah, dan lain-lain agensi yang berkaitan untuk membincangkan isu-isu berkaitan penempatan semula,” jelasnya.

Menurut beliau, Sehingga Disember 2020, jawatankuasa tersebut telah meluluskan 435 permohonan yang layak untuk Skim Perumahan di mana 310 unit telah diagihkan kepada pemohon.
“Baki unit akan diagihkan dengan penyiapan Skim Penempatan V 12 Fasa 3 ini kelak…
“Sementara itu kira-kira 100 lot kosong ‘Site & Service’ telah diserahkan kepada pemohon yang layak,” katanya.
Berhubung status geran tanah lot-lot individu di Skim Penampatan Semula, Dr. Joachim berkata ia telahpun diagihkan kepada penduduk yang layak iaitu kira-kira 166 unit di V 19 Fasa 1 & 2 dan kira-kira 144 unit di V 12 Fasa 1 & 2.
“Kerja-kerja pengukuran pecahbahagi geran tanah telahpun disiapkan…
“Adalah dijangkakan geran-geran tanah pecahbahagi berkenaan boleh diperolehi daripada Jabatan Tanah & Ukur dalam tahun 2021 ini,” katanya lagi.





