Hanya Penurunan Kecil Kes COVID-19 Di Sabah Hari Ini

Hanya Penurunan Kecil Kes COVID-19 Di Sabah Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Penurunan kecil iaitu 10 kes berbanding semalam dilihat pada jumlah kes harian COVID-19 baharu Sabah hari ini.

Jumlah kumulatif kes sebanyak 641, tetapi yang lebih membimbangkan, kata jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, adalah kes sporadik yang meningkat.

“Hari ini 41 peratus (41.3%) daripada jumlah kes berlaku secara sporadik yang bermaksud pembawa virus tidak diketahui dan tempat jangkitan juga tidak dapat dipastikan…

“Lazimnya kes sporadik berlaku di tempat awam atau khalayak ramai dan kelalaian mengutamakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Perlu diperingatkan bahawa vaksin tidak memberi perlindungan 100% daripada jangkitan. Malah tidak ada vaksin untuk apapun penyakit yang memberi jaminan kekebalan 100%,” tegasnya.

Beliau berkata semakin ramai individu yang lengkap divaksin dijangkiti virus tersebut namun hampir keseluruhan mereka hanya mengalami gejala ringan ataupun tidak mengalami sebarang simptom.

“Kesimpulannya, ramai diantara mereka ini mungkin sudah lalai mematuhi SOP kerana berandaian vaksin memberi perlindungan 100% daripada jangkitan…

“Sebagai ingatan mereka yang sudah memperolehi vaksin tidak terkecuali daripada mematuhi semua SOP bagi melindungi diri daripada jangkitan,” nasihat beliau.

Dalam pada itu, Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes yang paling tinggi hari ini dengan 70 kes, iaitu peningkatan 23 kes berbanding kelmarin.

Semua daerah mencatatkan kenaikan kes dan satu (1) kluster jenis komuniti baharu, Kluster Alab Senagang, telah dikesan di Tenom.

Menurut beliau, 274 kes atau 42 peratus (42.7%) daripada 641 kes hari ini adalah kes lewat daftar dua (2) hari atau lebih lama.

Katanya lagi, saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes harian di Sabah dengan 312 kes atau 48 peratus (48.7%).

“Ini satu isyarat kepada masyarakat agar melipatgandakan usaha menjaga kesihatan diri serta mematuhi semua SOP kerana setiap daripada kita adalah sebenarnya ‘frontliners’…

“Saya menyeru kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ketua Kampung dan pemimpin akar umbi lain membantu Kerajaan memastikan semua penduduk mematuhi SOP di kampung masing-masing,” katanya.

Daripada 641 kes yang dilaporkan hari ini, 62 orang adalah dalam Kategori 1, 557 orang atau 86 peratus (86.9%) dalam Kategori 2, empat (4) orang dalam Kategori 3, satu (1) orang dalam Kategori 4 dan tiga (3) orang dalam Kategori 5.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (22 Okt) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kota Kinabalu – 70 (47)
Kudat – 56 (45)
Lahad Datu – 51 (33)
Kota Belud – 47 ( 60)
Beaufort – 41 (52)
Kota Marudu – 39 (38)
Tenom – 34 (43)
Putatan – 34 (14)
Keningau – 27 (40)
Tuaran – 27 (27)
Ranau – 26 (33)
Beluran – 25 (22)
Pitas – 20 (7)
Kinabatangan – 18 (8)
Tambunan – 17 (18)
Papar – 17 (30)
Sipitang – 17 (30)
Penampang – 15 (15)
Sandakan – 13 (23)
Telupid – 10 (2)
Nabawan – 8 (8)
Tongod – 8 (8)
Tawau – 8 (25)
Semporna – 5 (6)
Kuala Penyu – 4 (8)
Kunak – 2 (9)
Kalabakan – 2 (0)