Polis Kesan Pemandu Hilux Langgar Lari Warga Emas di Jalan Sepanggar

Polis Kesan Pemandu Hilux Langgar Lari Warga Emas di Jalan Sepanggar

0
SHARE
Sumber: Sabah Spotlight…

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut membabitkan seorang pejalan kaki di Jalan Sepanggar berhampiran Kampung Sepakat Jaya pada 22 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.25 petang apabila mangsa lelaki berusia 69 tahun dipercayai melintas jalan dari arah kanan ke kiri menuju ke kawasan Indah Permai sebelum dilanggar sebuah Toyota Hilux hitam yang bergerak di lorong kiri jalan.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 4.56 petang oleh pegawai perubatan Hospital Likas.

Pemandu kenderaan terbabit dipercayai meninggalkan lokasi kejadian selepas kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.