RANAU, SABAH – Daerah ini merupakan pengeluar utama sayur-sayuran di Sabah dengan jumlah pengeluaran 22,546.8 tan bagi keluasan berhasil 2,010.8 hektar dan keluasan bertanam 2,011.1 hektar.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, sebagai Wakil Rakyat Kundasang beliau amat berbangga dan mengucapkan syabas kepada para pengusaha yang cekal dan terus bergiat aktif dalam pembangunan sayuran tanah tinggi di Kundasang.
Walau bagaimanapun, katanya, pengeluaran sayur-sayuran tempatan di Sabah masih belum mencukupi.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat tahun 2021, tahap kecukupan (SSL) sayuran negeri hanya mencapai 86 peratus…
“Ini bermakna masih terdapat ruang untuk peningkatan pengeluaran,” kata beliau ketika merasmikan Kursus Desiminasi Teknologi Tanaman Sayuran Tanah Tinggi di Pentas Terbuka Kundasang, dekat sini, hari ini.
Dr. Joachim berkata, pembangunan tanaman sayur-sayuran termasuk sayuran tanah tinggi merupakan salah satu fokus utama kerajaan dalam membangun dan meningkatkan pengeluaran tanaman makanan di Sabah.
Berdasarkan data perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Sabah, setakat tahun 2021, pengeluaran sayuran-sayuran di Sabah adalah berjumlah 41,409.1 tan dengan keluasan berhasil 4,004.8 hektar dan keluasan bertanam 4,110.8.
Dalam usaha meningkatkan pengeluaran, beliau mahu agar hasil yang dikeluarkan hendaklah dipastikan selamat dan berkualiti.
“Pada 17 Julai 2022 yang lalu kita dikejutkan dengan berita bahawa terdapat 40 sampel sayur yang diambil di Kundasang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia didapati mengandungi kadar racun melebihi tahap maksimum.
“Sampel sayur yang diambil antaranya adalah cili, tomato, lettuce dan celery. Pengarah Pertanian pun ada menyatakan tadi bahawa mengikut rekod Jabatan, untuk sayuran tanah tinggi di Kundasang, secara keseluruhan sampel yang dikesan melebihi Maximum Residue Limit (MRL) yang ditetapkan dalam Jadual 16, Akta Makanan 1983 pada tahun 2021 adalah 20 peratus dan meningkat kepada 40 peratus setakat Jun 2022.
“Situasi seperti ini tidak boleh dibiarkan dan perlu kita tangani bersama-sama. Saya dimaklumkan dalam kursus pada hari ini, topik-topik yang disampaikan adalah sangat berkaitan kepada bagaimana menangani situasi ini melalui Amalan Pertanian Baik (APB), khususnya dalam Pengurusan Perosak dan Penyakit Sayur-sayuran Tanah Tinggi,” ujarnya, sambil mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian Sabah atas inisiatif dan usaha untuk menangani isu ini.
Beliau berharap para peserta kursus dapat menggunakan pengetahuan yang diperolehi dan seterusnya mengamalkan pengurusan tanaman sayur-sayuran tanah tinggi mengikut Amalan Pertanian Baik (APB) serta mendapat Pensijilan myGAP atau myOrganic.
Setakat Julai 2022, hanya 10 ladang sayuran tanah tinggi telah mendapat pensijilan myGAP dan satu ladang mendapat pensijilan myOrganic.
“Jumlah ini adalah terlalu rendah berbanding dengan jumlah ladang sayuran tanah tinggi yang terdapat di Kundasang…
“Oleh yang demikian, saya menyeru agar lebih ramai pengusaha di Kundasang ini berkerjasama dengan pihak Jabatan Pertanian Sabah untuk mendapatkan pengiktirafan pensijilan myGAP atau myOrganic,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian.
Mengenai kursus tersebut, beliau yakin ia amat diperlukan oleh masyarakat tani terutamanya pengusaha sayuran tanah tinggi di Kundasang.
Beliau mengucapkan syabas kepada Pengarah Jabatan Pertanian Sabah,
Jifrin Hj. Mohamad, dan Zaba Awalidin, Pegawai Pertanian Kanan merangkap Pengerusi Bersama Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N. 36 Kundasang serta semua semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kursus ini.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo; Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin; Pemimpin Pembanguan Masyarakat DUN Kundasang, Dounis Sani, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi daerah Ranau.