Penjawat Awam Disaran Miliki Kapasiti Intelektual Tinggi

Penjawat Awam Disaran Miliki Kapasiti Intelektual Tinggi

0
SHARE
Ruslan
Ruslan (dua kiri) memberikan hiasan dinding tulisan khat kepada salah seorang pesara ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penjawat awam disaran sentiasa berusaha menimba pengalaman baharu untuk memiliki kapasiti intelektual dengan kreativiti tinggi.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata kakitangan awam mesti sentiasa bersedia belajar dan memahirkan diri agar dapat memanfaatkan teknologi semasa supaya mampu menghasilkan produk inovasi termasuk menyediakan perkhidmatan kreatif.

“Peranan perkhidmatan awam amatlah penting kerana merupakan tulang belakang kepada sesebuah organisasi dan menjadi tanggungjawab untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada rakyat khususnya. 

“Setiap penjawat awam harus memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap cemerlang kerana aspek-aspek seperti pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan, nilai positif dan kepakaran adalah sesuatu yang perlu dimiliki kerana ianya merupakan aset yang tidak ternilai. 

“Apa lagi sekarang ini di mana seorang penjawat awam yang berkhidmat pada zaman teknologi serba canggih dan berkembang pesat, suka ataupun tidak mestilah sentiasa bersedia belajar dan memahirkan diri agar dapat mengaplikasikan teknologi semasa,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Pada majlis tersebut, seramai 55 orang pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 terdiri daripada 35 orang kakitangan jabatan dan 20 orang kakitangan Vot Terbuka JHEAINS.

Ruslan berkata  APC  bertujuan menjadikan penerima sebagai contoh dan daya penarik kepada lain-lain anggota untuk sama-sama meningkatkan lagi taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi.

“JHEAINS adalah sebuah organisasi yang mempunyai peranan sangat penting kerana jabatan ini merupakan satu kesinambungan agenda mendaulatkan syiar Islam dalam usaha menangani arus perkembangan dan kemajuan agama Islam di negeri Sabah,” ujarnya.

Di samping itu, program tersebut turut disekalikan dengan Majlis Jasamu Dikenang yang meraikan jasa 31 orang pegawai JHEAINS yang telah bersara setakat Julai 2023. — JABATAN PENERANGAN SABAH