BEAUFORT, SABAH – Seorang lelaki berumur 23 tahun lari meninggalkan kekasihnya untuk ditahan polis selepas merempuh seorang Pegawai Polis Trafik dalam sebuah Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Lumatai, Beaufort pada Khamis lalu.
Insiden yang berlaku lebih kurang jam 7.50 pagi itu telah mengakibatkan pegawai Polis Trafik tersebut mengalami kecederaan ringan pada tubuhnya.
Ketua polis daerah Beaufort DSP Azmir Razak berkata, lelaki dan teman wanitanya berusia 21 tahun yang membonceng sebuah motosikal itu rebah sementara polis trafik itu terbaring di atas jalan raya.
“Pada awalnya mereka diarahkan untuk berhenti bagi pemeriksaan rutin ‘Op Motosikal’ yang sedang dilangsungkan sebelum suspek bertindak merempuh pegawai polis.
”Namun, suspek terus melarikan diri ke arah kawasan hutan yang berhampiran dan menghilangkan diri…
“Walau bagaimanapun, berdasarkan maklumat kekasihnya yang telah ditinggalkan oleh lelaki itu, suspek berjaya diberkas berhampiran Kompleks Sukan Beaufort sekitar jam 9 pada hari yang sama,” Azmir berkata.

Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melangsungkan tugas.
Menurut Azmir, motorsikal jenis Modenas Dinamik ditunggang suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.