Tokoh Perbankan Asia Andrew Sheng Dilantik Penasihat Khas Ketua Menteri

Tokoh Perbankan Asia Andrew Sheng Dilantik Penasihat Khas Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melantik tokoh perbankan Asia, Andrew Sheng sebagai Penasihat Khas beliau dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi dan pelaburan negeri.

Mengumumkan pelantikan itu, Hajiji berkata, pengalaman luas serta kelayakan kukuh dimiliki Sheng akan menjadi aset penting kepada Sabah.

“Kami menantikan sumbangannya, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Sheng di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, hari ini.

Sheng merupakan warganegara Malaysia yang dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an dan kini berpangkalan di Hong Kong. Beliau diiktiraf sebagai antara tokoh ekonomi global serta sering dijemput sebagai penceramah dalam forum kewangan antarabangsa.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, serta Pengurus Kanan di World Bank.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong.

Kini, Sheng merupakan Profesor Khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen) serta ahli majlis penasihat antarabangsa bagi beberapa institusi utama China termasuk Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional (NFRA), Suruhanjaya Sekuriti China (CSRC) dan Perbadanan Pelaburan China (CIC).

Pada April 2013, beliau turut diiktiraf oleh TIME sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia.