PENAMPANG: Hujan lebat yang turun tanpa henti sejak jam 3.55 petang Ahad menyebabkan beberapa kawasan di daerah Penampang mula dinaiki air dan mencetuskan pemantauan rapi oleh pihak berkuasa.
Dalam laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang, bacaan paras Sungai Moyog direkodkan pada 8.11 meter setakat jam 7.59 malam, iaitu hampir dengan paras bahaya 9.0 meter.
Walaupun Sungai Penampang Proper dan Jambatan Pukakon masih boleh dilalui semua jenis kenderaan, keadaan di Sungai Babagon lebih membimbangkan apabila paras air mencecah paras betis dan menutup laluan kepada semua kenderaan.
Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini kerana keadaan masih terkawal.
Dalam pada itu, insiden berasingan berlaku di Keningau apabila bilik kawalan Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 malam mengenai banjir kilat di Kg Tuntumulud, Bingkor.
Sebaik tiba di lokasi, sepasukan bomba mendapati beberapa kawasan perumahan dinaiki air.
“Seorang wanita berusia 45 tahun berjaya dipindahkan ke rumah keluarganya yang berhampiran. Pemindahan dilakukan sebagai langkah keselamatan.
“Pasukan bomba kemudiannya hanya membuat pemantauan selepas air mula surut, sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.59 malam,” kata seorang pegawai jurucakap.
JPBD Penampang dalam kenyataan menegaskan bahawa bacaan sungai akan terus dipantau dari semasa ke semasa, manakala orang ramai dinasihatkan berwaspada khususnya di kawasan rendah yang berisiko dinaiki air sekiranya hujan berterusan.






