KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, bersambung hari ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dengan kehadiran saksi kedua dari Jabatan Kimia Malaysia.
Saksi tersebut dijangka memberi keterangan berhubung diari peribadi milik mangsa.
Selain itu, seorang doktor perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (QEH) turut dijangka tampil memberi keterangan selepas minggu lalu pakar patologi forensik QEH, Dr Jessie Hiu, selesai memberi keterangan selama dua hari.
Dr Jessie yang menjalankan bedah siasat terhadap Zara pada 10 Ogos lalu, memberikan keterangan pada 3 dan 4 September di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Pada minggu ini, prosiding diteruskan hari ini manakala Khamis depan mahkamah dijangka melawat lokasi kejadian, iaitu tempat Allahyarhamah ditemui tidak sedarkan diri.
Dr Jessie juga dijangka dipanggil semula semasa lawatan itu.
Secara keseluruhan, inkues ini dijangka mendengar keterangan daripada 68 saksi termasuk 35 pelajar bawah umur, pegawai polis, guru serta pakar-pakar berkaitan.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad bersama Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta beberapa Timbalan Pendakwa Raya termasuk Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Pihak keluarga Allahyarhamah turut diwakili barisan peguam: ibu Zara, Noraidah Lamat, 45, oleh Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James; manakala ayahnya, Mahathir Mohd Hashim, 44, diwakili Sherzali Hezra Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Turut serta ialah peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili seorang remaja, manakala Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan mewakili empat remaja lain.
Sabah Law Society hadir sebagai pemerhati dan amicus curiae (sahabat mahkamah), manakala Kementerian Pendidikan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Dr Norahimah Fitri, sebagai pemerhati.
Allahyarhamah Zara ditemui tidak sedarkan diri di aras bawah asrama sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Inkues ini bertujuan menentukan punca sebenar kematian pelajar berkenaan.






