SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) IPK Sabah telah menyerahkan dua kes rampasan membabitkan sejumlah 6,850 liter minyak petrol yang disyaki diseleweng dengan anggaran nilai keseluruhan jumlah rampasan lebih RM50,000 kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) baru-baru ini.
KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan rampasan itu diserahkan menerusi hasil pemeriksaan yang dijalankan di kawasan perkampungan atas air, rumah tanpa nombor di Kampung Mesra, Semporna pada 22 Jun lalu.
“Rampasan bagi kes pertama melibatkan sebanyak 4,350 liter minyak disyaki petrol yang disimpan di dalam 174 buah jerikin berkapasiti 25 liter, dua buah bot kayu berwarna kelabu, sebuah enjin sangkut jenama Yamaha 200HP serta dua buah enjin sangkut jenama Yamaha 85HP.
“Kes kedua pula melibatkan rampasan sebanyak 2,500 liter minyak disyaki petrol yang disimpan di dalam 100 buah jerikin berkapasiti 25 liter,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
KPDN memaklumkan kedua-dua kes merupakan rampasan tanpa tuan dan tiada tangkapan dibuat semasa operasi dijalankan.
“Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM25,482.00, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin yang disita dianggarkan berjumlah RM52,482.00,” tambah kenyataan itu.
Susulan itu, KPDN Cawangan Semporna telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) untuk tindakan lanjut.
Dalam kenyataan sama, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
“Mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].






