Kaamatan Diketengahkan Sebagai Tarikan Pelancongan Utama Sabah di MATTA Fair

Kaamatan Diketengahkan Sebagai Tarikan Pelancongan Utama Sabah di MATTA Fair

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pesta Kaamatan diketengahkan sebagai antara tarikan pelancongan utama Sabah dalam usaha meningkatkan tempahan pelancong, apabila negeri itu memperkukuh penyertaan dalam MATTA Fair di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menyertai pameran tersebut bersama 37 ejen pelancongan dari negeri itu yang mengendalikan lebih 100 gerai, menawarkan pelbagai pakej pelancongan khususnya menjelang musim Kaamatan pada Mei ini.

Fokus terhadap Kaamatan turut diserlahkan dengan kehadiran Huguan Siou bagi masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang melancarkan video jemputan Kaamatan di Pavilion Sabah dalam busana tradisional.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, melancarkan penjenamaan semula destinasi Explore Sabah sebagai langkah memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama.

Menurut Jafry, Kaamatan merupakan aset budaya penting Sabah yang mampu menjadi faktor utama tarikan pelancong untuk merancang perjalanan ke negeri ini.

“Kaamatan adalah antara aset budaya terkuat Sabah dan menjadi sebab utama pelawat memilih untuk datang. Ia bukan sahaja signifikan kepada komuniti pribumi, malah semakin mendapat perhatian pelancong yang mencari pengalaman budaya autentik,” katanya.

Beliau berkata, melalui inisiatif Explore Sabah, negeri ini akan terus menonjolkan keunikan tarikan alam semula jadi bertaraf dunia serta pengalaman pelancongan berasaskan komuniti, termasuk pakej yang disesuaikan dengan sambutan Kaamatan.

Disambut setiap tahun di seluruh Sabah, Kaamatan menampilkan pelbagai acara sepanjang sebulan termasuk persembahan kebudayaan, ritual tradisional, sajian tempatan serta pertandingan Unduk Ngadau, dengan kemuncak sambutan pada 30 hingga 31 Mei.

Dengan penyertaan kukuh dalam MATTA Fair yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada 5 April, Sabah menyasarkan untuk menukar minat pengunjung kepada tempahan sebenar, khususnya bagi tempoh pertengahan tahun yang berteraskan Kaamatan.

Selain itu, pelbagai pakej turut ditawarkan merangkumi destinasi popular seperti Kundasang dengan pemandangan Gunung Kinabalu serta Semporna bagi percutian pulau dan aktiviti selam skuba, selain produk pelancongan berasaskan alam semula jadi dan hidupan liar.

Turut dipertontonkan ialah teaser kempen Visit Sabah 2027 sebagai gambaran awal hala tuju jangka panjang sektor pelancongan negeri.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal; Setiausaha Tetap kementerian Datuk Josie Lai; serta Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit.