Program SULUNG, Inisiatif Bantu Pelajar B40

Program SULUNG, Inisiatif Bantu Pelajar B40

0
SHARE
Kasim (dua kiri) menyampaikan surat tawaran kemasukan ke UMS kepada Mursyazliana (tengah) sambil disaksikan Raman (dua kanan) dan Rosalam (tepi kanan)...

PUTATAN, SABAH – Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor menyampaikan surat tawaran kepada salah seorang penerima Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kelmarin.

Penyampaian surat tawaran disampaikan kepada pelajar B40, Mursyazliana Bulkia, di kediamannya di Kampung Lembising, di sini.

Datuk Kasim turut menyampaikan bantuan wang tunai RM1,000 dan bakul makanan bagi memudahkan urusan awal mengikuti pengajian di UMS.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj Sarbatly dan Pegawai-pegawai Utama UMS.

Untuk rekod, Program SULUNG merupakan cetusan idea Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad bertujuan membantu individu pertama dalam keluarga daripada golongan B40 untuk ke menara gading.

Ia selari dengan semangat #KPTPrihatin supaya pelajar B40 yang cemerlang dapat meneruskan pengajian biarpun menghadapi kekangan kewangan sekali gus sebagai motivasi kepada ahli keluarga dan komuniti setempat.

Pelajar terpilih bukan sahaja mendapat laluan khusus kemasukan pelajar B40 ke Universiti Awam (UA) tetapi turut ditawarkan biasiswa, elaun bulanan, asrama dan pementoran sehingga mereka mendapat pekerjaan.

Pada sesi kemasukan pelajar baharu 2022/2023, UMS sebagai salah sebuah UA perintis program SULUNG telah menawarkan tempat kepada 10 pelajar B40.